Wednesday, October 8, 2014

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HADITH MAUDHU' DAN HUKUM MERIWAYATKANNYA?

Definisi Hadith Maudhu'

Hadith Maudhu` bermaksud hadith palsu atau yang didustakan kepada Rasulullah s.a.w. baik mengenai ucapannya, perbuatannya mahupun perakuannya. Hadith dikenal sebagai Maudhu` kerana pengakuan pembuatnya sendiri ataupun kerana orang yang berkenaan sangat terkenal dustanya dan ianya pembuat Hadith palsu. Terdapat juga kata-kata hikmah daripada para sahabat, tabiin atau ulama yang disalah anggap sebagai hadis. Kesemua ini dikatakan sebagai hadis maudhu’ atau hadis palsu.(1)



Dari Sudut Bahasa Arab:
Hadith Maudhu’ dari sudut bahasa Arab ialah:
Hadith ialah perkara baru atau percakapan.
Maudhu’ ialah sesuatu yang diletakkan atau ditinggalkan atau direka.(2)

Dari Sudut Ilmu Hadith:
Hadith Maudhu’ dari sudut definisi ilmu Hadith ialah:

Apa sahaja yang disandarkan secara rekaan dan bohong kepada Rasulullah s.a.w. bahawa Baginda berkata, membuat atau memperakuinya.(3)


Hukum Periwayatan Hadith Maudhu’:
Kerosakan sesuatu perkara hanya akan diketahui dengan tahap dosa yang dikaitkan dengannya. Di sini kita akan menyingkap tahap dosa yang dikaitkan dengan mereka yang menyebarkan hadith maudhu’. Dapatlah rasanya dikategorikan periwayatan hadith maudhu’ ini kepada tiga bahagian seperti berikut:

-          Secara Sengaja:
Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadith maudhu’ adalah haram berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w. :
[ من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار.](4)
Maksudnya : Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.

-          Secara Tidak Sengaja:
Orang yang melakukan perkara ini iaitu meriwayatkan hadith maudhu’ secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadith Nabi s.a.w. :
[ إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه.](5)
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.

-          Secara Jahil atau Sambil Lewa:
Orang yang meriwayatkan hadith maudhu’ secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetap akan mendapat dosa menyebarkan hadith maudhu’ walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui tentang kepalsuan hadith itu. Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut:

1-      Firman Allah Ta’ala (Surah al-Isra’ :36) :
{ولا تقف ما ليس لك به علم }
Maksudnya : Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya.
2-      Hadith :
[ من حدث عني بحديث يرى أنه كذب فهو أحد الكاذبين ](6)
Maksudnya : Sesiapa yang meriwayatkan hadith daripadaku sedang ianya diketahui sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.
Keterangan : lafaz ‘yura’/dilihat ; ertinya para ulamak mengetahui hadith itu palsu. Lafaz ‘yara’/melihat ; pula ertinya dia yang meriwayatkan hadith itu mengetahui tentang kepalsuannya.
3-      Hadith :
[ القضاة ثلاثة واحد في الجنة واثنان في النار فأما الذي في الجنة فرجل عرف الحق فقضى به ورجل عرف الحق فجار في الحكم فهو في النار ورجل قضى للناس على جهل فهو في النار ](7)
Maksudnya : Para qadhi terbahagi tiga; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Lelaki yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Lelaki yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Lelaki yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia dalam neraka.(8)





Sumber : Dipetik daripada http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2013/06/perkongsian-tentan-hadith-palsu.html


Rujukan

1. Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris, Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu', (Kuala Lumpur: Al-Hidayah, 1996) 15.
2.  Al-Khatib, Dr. Muhammad ’Ijaj, Usul al-Hadith, (Beirut: Dar al-Fikr, 1421-2001) 275.
3.  Ibid
4. Al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 6197
5. Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Thalaq, Bab Thalaq al-mukrah wa al-nasi, No. 2033. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah No. 1675.
6. Sahih Muslim, al-Muqaddimah.  

7. Sunan Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 3573.
8.  Sila lihat Syaraf Mahmud al-Qudhah, al-Minhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith, Kuala Lumpur: Muassasah al-Bayan, Cetakan pertama 2003/1423h, hlm. 183




0 comments:

Post a Comment