Golongan pertama:
Para pereka
hadis palsu. Mereka ialah orang yang bertanggungjawab mencipta sesuatu riwayat
palsu sama ada berupa ucapan (qauli), perbuatan(fi’li) mahupun pengiktirafan
atau persetujuan (taqriri) ke atas sesuatu perkara lalu menyandarkannya kepada
Rasulullah s.a.w. Padahal hakikatnya baginda tidak terkait sedikit pun
dengannya.
Golongan kedua:
Para penyebar
hadis palsu. Mereka ini bukanlah orang yang pertama mencipta sesuatu riwayat
atau hadis palsu yang disandarkan kepada Nabi s.a.w., akan tetapi mereka ialah
golongan yang berperanan aktif di dalam menyebar atau menyampaikan hadis-hadis
palsu kepada orang ramai. Syeikh al-Albani rahimahullah yang merupakan salah
seorang ahli hadis terkemuka di abad ini menjelaskan di dalam kitabnya, Tamamul
Minnah:[5]
“Orang yang tidak mengetahui kelemahan hadis (tetapi menyebarkannya kepada orang ramai) termasuk berdosa juga kerana dia menisbahkannya kepada Nabi tanpa didasari ilmu. Nabi bersabda (maksudnya): Cukuplah kebohongan seseorang dengan menceritakan setiap yang dia dengar. Sehingga dia mendapat bahagian dari dosa berdusta kepada Rasulullah.”
Berkata
(al-Imam) asy-Syafie:
“Jika hadis sudah engkau ketahui dusta (palsu) kemudian engkau sampaikan (iaitu sebarkan kepada orang lain), maka engkau termasuk para pendusta.”
Pengecualian
diberikan kepada mereka yang menyebarkan hadis-hadis palsu dalam rangka
menjelaskan kepalsuannya kepada orang ramai agar mereka dapat mengetahui bahawa
ia adalah sesuatu yang tidak berasal daripada Rasulullah s.a.w. Ini sebagaimana
yang disarankan sendiri oleh Syeikh Muhammad Syakir rahimahullah menerusi
kitabnya al-Ba’ith al-Hadith, beliau berkata:[6]
“Saya berpendapat menjelaskan kelemahan hadis dhaif adalah wajib dalam segala keadaan, kerana jikalau tidak dijelaskan ianya akan memberi andaian kepada para pembaca bahawa ianya adalah suatu hadis yang sahih (daripada Nabi).”
Sehubungan
dengan hal ini, al-Imam Ibnu al-Shalah rahimahullah (643H) menegaskan di dalam
kitabnya, ‘Ulum al-Hadith, ms. 98:
“Tidak halal bagi sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun. Melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.”
Golongan
ketiga:
Mereka yang
sengaja menyebarkan sesuatu hadis palsu akan tetapi tidak menjelaskan kepalsuan
hadis yang disampaikan oleh mereka. Padahal mereka sendiri menyedari akan
kepalsuan hadis tersebut. al-Imam al-Nawawi rahimahullah menulis di dalam
kitabnya Syarh Shahih Muslim:[7]
“Barangsiapa yang meriwayatkan hadis maudhu dengan pengetahuannya dan persangkaannya yang lebih kuat, kemudian tidak menerangkan tentang keadaan riwayat tersebut, maka dia termasuk dalam ancaman hadis ini, dikategorikan dalam jajaran para pendusta atas nama Rasulullah. “
Golongan
keempat:
Mereka yang
membawakan sesuatu hadis yang sahih menurut penilaian para ahli hadis akan
tetapi mereka mentafsirnya kepada sesuatu yang menyelisihi maksud dan tujuan
asal hadis itu disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah kata, apa yang baginda s.a.w.
maksudkan, lain pula yang mereka tafsirkan.
Perkara ini
lazim berlaku kepada mereka yang tidak mahu meneliti syarah para ulama ke atas
hadis-hadis yang mereka sampaikan kepada orang ramai, sehingga akhirnya mereka
mengeluarkan tafsiran yang salah daripada hadis-hadis tersebut.
Golongan
kelima:
Mereka yang
menyebarkan sesuatu hadis dan menganggapnya sebagai sahih dengan hanya
berdasarkan kepada syak atau sangkaan sahaja tanpa terlebih dahulu melakukan kajian
ilmiah mengenai kedudukan sebenar status hadis tersebut.
Sumber: Dipetik daripada artikel di sini http://www.hafizfirdaus.com/ebook/CINTAALLAH/R8.htm
Sumber: Dipetik daripada artikel di sini http://www.hafizfirdaus.com/ebook/CINTAALLAH/R8.htm
0 comments:
Post a Comment