Para
ulama dahulu telah menggunakan segala kemampuan yang ada pada mereka untuk
mencegah dan membasmi pembuatan, penyebaran dan penggunaan hadith-hadith mawdhu’,
akan tetapi bukanlah bererti bahawa pembuatan dan penyebaran hadith-hadith
mawdhu’ itu dapat dibenteraskan sama sekali dalam masyarakat Islam.
Hadith-hadith
itu masih juga tersebar dalam masyarakat Islam sampai kini melalui lisan dan
tulisan, oleh musuh-musuh Islam atau oleh orang-orang Islam yang jahil, oleh
ahli-ahli bid’ah dan ahli-ahli sufi yang keliru dan oleh orang-orang yang
mempunyai sesuatu kepentingan dunia. Masih lagi kedapatan dan kedengaran
guru-guru agama, khatib-khatib yang membacakan hadith-hadith mawdhu’ dalam
khutbah atau pengajaran kerana mereka hanya berpada dengan buku yang ada pada
tangan mereka sahaja, padahal sebahagian buku-buku yang dipegang mereka
tidaklah mu’tabar dan tidak pula ditulis oleh orang yang mu’tabar pula, di mana
hadith-hadith dinyatakan dalam Bahasa Melayu, tanpa sanad dan tanpa perawinya
pula.
Al-Imam
Ibnu Hajar al-Haitami ditanya mengenai khatib yang naik ke mimbar pada
tiap-tiap Jumaat dan meriwayatkan hadith-hadith tanpa menyebutkan orang yang
mengeluarkan hadith itu. Beliau menjawab:
“Adapun
hadith-hadith yang disebutkan dalam khutbah tanpa menerangkan perawinya atau
orang yang menyebutkannya adalah harus dengan syarat ia termasuk orang-orang
yang ahli dengan ilmu hadith, atau ia menukilkan dari karangan pengarang yang
mempunyai keahlian yang serupa itu. Adapun berpegang kepada riwayat-riwayat
hadith kerana semata-mata melihatnya dalam sebuah kitab padahal pengarangnya
bukan ahli hadith, ataupun menjumpainya dalam khutbah-khutbah yang pengarangnya
bukan ahli hadith, maka tidaklah halal hukumnya, bahkan orang yang melakukan
demikian hendaklah dikenakan hukuman ta’zir yang keras.”
Demikianlah
kebanyakan para imam, khatib, guru-guru agama apabila sahaja menjumpai sebuah
hadith terus mereka menuliskannya atau menghafalkannya dan terus membacanya
dalam khutbah atau dalam pengajian-pengajian tanpa membuat kajian terlebih
dahulu apakah yang dijumpai itu benar-benar hadith ataukah bukan. Oleh kerana
itu ia terjatuh dalam kesesatan dan mengheret orang lain ke dalam kesesatan
yang tiada bertepi.
Sesungguhnya
penyebaran dan penggunaan hadith mawdhu’ itu adalah satu bahaya besar bagi
Islam dan umatnya dan ia adalah satu dosa besar yang wajib dicegah dan
dibasmikan, bahkan lebih besar daripada sebahagian dosa dan maksiat yang telah
diusahakan pencegahan dan pembasmian oleh pihak yang berwajib.
Drs Abdul Ghani Azmi Bin Haji Idris, “Himpunan
Hadis Dha’if dan Maudhu’” (Kuala Lumpur: al-Hidayah, 1996), 43-44.
Al-Israiliat wal-Maudhu’at fi kutubit-Tafsir,
hal 29-30.
0 comments:
Post a Comment